Di Bawah

>> Wednesday, June 3, 2009

Menurut perkiraan aku ini dah kali ketiga aku berada di bawah. Mungkin juga yang keempat, kalau diambil kira sewaktu kali pertama belajar dulu. Tapi apa sebenarnya yang ketiga, keempat dan pertama? Mana pula yang kedua?

Minggu lalu (selasa) aku berada di bawah. Aku bangun secepat yang mungkin, risau akan sesetengah yang berada dibelakang, mengejar masa tanpa sempat memberhentikannya. Apa yang pasti kali yang ketiga itu, masa seolah-olah berhenti. Setiap orang yang ada, setiap mata yang melihat, terpaku dan memaku penglihatan mereka terhadap aku. Segala yang berada dihadapan meninggalkan aku, segala yang berada di belakang terhenti menunggu. Bagaikan masa yang berpecah dua dan aku sebagai sempadan. Namun sempadan boleh direntasi. Syukur Alhamdulillah, aku benar-benar menjadi sempadan di waktu itu. Setelah melihat semuanya terhenti, aku berjalan perlahan-lahan dan hanya mampu memandang ke bawah, ke arah ‘harta’ aku yang terbaring di tengah-tengah Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

“Disangkakan panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan ditengahari”. Tapi hari tu bukan hujan ditengahari tetapi sepanjang hari. “Malang tidak berbau”. Memang tidak berbau. Motor dihadapan brek mengejut tanpa mengelipkan lampu di belakang, sempat atau tidak aku juga terpaksa melakukan perkara yang sama, tapi agak terlewat. Jalan yang licin, brek pula diatas garisan putih, mengharap agar sempat berhenti tetapi motorsikal tetap menggelungsur ke arah motor dihadapan. Sebagai langkah terakhir, brek tangan digunakan. Motorsikal dapat dihentikan, pelanggaran dapat dielakkan tapi aku hilang keseimbangan. Hanya satu ada di fikiran: “kenderaan di belakang”.

Andai kata kereta di belakang mengejar masa dan merentasi sempadan, sempadan putih mungkin menjadi merah. Dengan perasaan yang bercampur baur dan fikiran yang bercelaru memproses setiap data mengenai kejadian tersebut, aku dirikan motorsikal, hidupkan enjin dan berlalu pergi tanpa menyedari terdapat sebuah kereta (berada di sebelah motorsikal aku semasa jatuh) telah melalui atas motorsikal aku.

Syukur: Tiada apa yang serius berlaku yang melibatkan diri sendiri dan juga orang lain. Teringat Ustaz Rock kita kemalangan kereta sampai terbalik kereta beliau, perkara pertama yang beliau lakukan sewaktu keluar daripada kereta adalah sujud syukur di atas jalan raya. Bolehkah aku lakukan perkara yang sama dalam sedetik masa.

Kesal: Perkara pertama yang ada di fikiran bila nyawa di hujung tanduk bukannya Allah swt tapi keselamatan diri. Teringat juga kata orang, kadang-kadang sakit tu rahmat, dapat beringat tentang perkara yang dibuat, dapat bertaubat selagi sempat. Ya Allah matikanlah aku dalam iman.

Jangan selalu fikir untuk berada di atas, kerana entah bila kita akan berada di bawah. Jangan fikir untuk berada di bawah sahaja kerana tiada peningkatan di dalam hidup, Allah swt akan marah. Contoh paling senang solat, solat pun perlu ada peningkatan. Jangan umur suku abad tapi masih bersolat pada tahap darjah empat. dan selalulah memikir akan perkara yang lebih bawah sebawah-bawahnya, hidup tanpa catitan amal lagi di dunia.

Read more...

Caca Merba

>> Friday, February 27, 2009

Caca merba merupakan ayat yang sesuai menggambarkan keadaan sebulan yang lalu. Ayat yang jarang sekali digunakan aku, namun kerap kali kedengaran apabila rakan sekerja berada dalam kekalutan dan stress ketika bekerja. "Caca merba kepala aku".

Bagi aku bukan caca merba di kepala yang berlaku tetapi di hati yang bercelaru menahan panas darah muda yang bergelegak. Jarang sekali 'perak' dikejar lebih daripada emas namun terbukti awal bulan yang lalu 'perak' kelihatan lebih berkilau daripada emas malah minggu seterusnya dan bulan yang mendatang 'perak' berkemungkinan akan menjadi lebih berharga daripada emas. Caca merba dibuatnya.

Bertambah-tambah caca merba hati dan perasaan aku apabila episod 'memalukan' bagi YB dan pihak media. YB sudahlah menanggung malu tapi pihak media pula cuba menambah aib si YB. Sehinggakan tidak sanggup menonton berita ketika episod ini masih panas. Dibukanya tv3 itulah beritanya. Diubah saluran dekat di hati lain pulak jadinya, bertambah caca merba hati aku dibuatnya dengan pemberita bertudung elok dan merupakan kaum sejenis dengan YB, tanpa segan silu mengatakan keadaan atau posisi YB di dalam foto yang ter......

Tidak payahlah aku sambung ayat tersebut. Anda sendiri juga mungkin tahu perkataan tersebut bagi yang tonton dan dengar. Tergamak hati pemberita perempuan itu. Sedangkan dalam Islam orang telah meninggal pun kita tidak boleh sebutkan keaiban mereka, apatah lagi ketika jasad orang itu masih bernyawa.

Namun tidak 100 peratus aku sokong YB kerana selaku pemimpin sepatutnya YB perlu serba serbi ketahui etika dan pemahaman masyarakat Malaysia terutama masyarakat melayu islam secara khususnya. Ini yang membuatkan perkara tersebut menjadi lebih caca merba dan hatiku lebih caca merba dalam memilih pemimpin. Tidakkah si YB tahu hubungan tanpa ikatan bersama dengan orang islam adalah satu hubungan yang sangat berdosa, sangat menjijikan dan sangat menghinakan dalam pandangan masyarakat muslim. Kalau hudud dilaksanakan sangat berat hukuman yang dikenakan.

Oleh yang demikian hal ini aku sama sekali tidak boleh berada di belakang YB, sekaligus menyanggah bahawa YB dapat memimpin. Kerana akhlak YB dan moral YB tersebut. Akhirnya perbuatan tersebut terpalit ke muka sendiri. Dan kesalahan tersebut patut juga aku letakkan pada lelaki yang menghilangkan diri tersebut selaku muslim tapi tidak langsung melambangkan diri sebagai muslim.

PAS tolonglah nasihatkan pemimpin parti lain. kerana ini akan mencemarkan diri PAS sendiri. Caca merba dibuatnya aku. Ngan kerja lagi berlambak. Arghhhhh!!!!

Read more...

Kasihan Kami

>> Monday, December 1, 2008


Lain rasanya bila kembali ke tempat yang sebelum ini dipenuhi rakan dan kini kosong dan sunyi tanpa satu pun yang dapat dicari dan dihubungi. Sepi. Rindu. Begini rupanya perasaan perpisahan. Aku berada di tempat yang sama di UTM, tetapi berasa seperti kehilangan tanpa arah dan tujuan. Terkurung di satu tempat tidak tahu perkara yang perlu dilakukan. Nak minum petang pun tidak kesampaian kerana mood bersendirian tidak pernah ada kerana aku perlukan rakan. Alih-alih berada di perpustakaan melayan perasaan harap dapat berkongsi bersama teman. Satu idea itu. 'Menulis untuk mencari teman'. Apa yang pasti kita ni hidup kena berteman, kalau susah ada bantuan, kalu senang sentiasa menolong kawan-kawan.

Bila kembali ke pangkuan keluarga atau ke kampung halaman jarang perasaan ini dapat dirasakan kerana kita berada di dalam lingkungan atau rangkuman dunia yang selesa serta selamat dan hanya memandang kehadapan ke arah dunia yang baru. Namun apabila kembali kebelakang ke dunia kita sebelum ini timbul rasa sayu di dalam diri. Namun apa pun tahniah kepada rakan-rakan yang sudah mula maju ke hadapan sebagai jurutera di dalam sektor pembinaan Malaysia. Satu aku ingin berpesan jangan lupa member-member yang dibelakang bila sekembali ke UTM. Kasihan kami yang berada di UTM. Semoga berjaya rakan seperjuangan. Lepas ni boleh tolong kawan-kawan yang berada di belakang.

Read more...

Lewat, Terlewat, Sengaja Lewat

>> Monday, November 10, 2008

Dah lama tak ada post baru di blog ni. Sejak dua menjak, diri ini tak berapa sihat dan sibuk dengan final projek dan exam. Untuk mengubat kerinduan, aku ambil post di facebook untuk dikongsi bersama. Post ni berada di facebook pada bulan Ramadhan yang lalu. Jadi tarikh tersebut boleh diabaikan, yang penting mesej yang hendak disampaikan.

4 Ramadhan 1429h. Sudah 3 hari berlalu Ramadhan. Adakah kita berasa sebarang perubahan dalam bulan yang penuh RAHMAH ini? Alhamdulillah perubahan yang sedikit juga penting. Takpe, sama-sama kita kayuh pelan-pelan sehingga ke tahap yang Allah redhai. Tapi apa yang hendak dikongsi di sini adalah mengenai tabiat buruk orang Melayu termasuk diri saya sendiri. Walaupun sudah beberapa kali berazam, berapa kali Ramadhan perkara ini susah sekali untuk diubah. Sudah menjadi darah daging agaknya iaitu sifat lewat, terlewat atau sengaja melewatkan.

Perkara ini terlintas di peti kecil saya pagi tadi, apabila kerap kali terlewat menghadiri kelas yang sepatutnya 8 pagi officially, dan masa tersebut diubah ke 8:30 pagi untuk memudahkan pelajar dan pensyarah yang sentiasa lewat, dan ditambah pula masa 8:30 tersebut ditetapkan oleh pelajar sendiri. Namun diri ini tetap juga lewat, sedangkan mata ini tetap berjaga selepas sahur. Akibatnya siapa yang menjadi mangsa?

Pada mata kasarnya tiada siapa, pelajar yang lewat (saya) tidak dimarahi, pensyarah tidak menunjukkan sebarang reaksi dan konsentrasi pelajar lain di dalam kelas tidak lagi boleh disangsi (almaklum sentiasa masuk kot belakang senyap-senyap). Namun pada mata hati yang menjadi mangsa itu saya, selaku pelajar yang tidak memegang amanah Allah, ilmunya kurang, penghormatan pensyarah pada saya akan kurang, dapat markah lagi kurang (markah bonus tak dapat). Dan mungkin juga pelajar lain menjadi mangsa, konsentrasi belajar hilang, mungkin ada yang naik berang. Pensyarah pulak mungkin bengang, hilang mood nak terang. Itu cuma untuk beberapa minit yang hilang.  

Cuba kita bayangkan. Rakan kita berjanji hendak berjumpa di sekian-sekian tempat pada pukul 1. Dan pada pukul 1 jugalah kita tunggu di tempat yang dijanjikan. Maklumlah raya nak kunjung tiba, semangat tu lebih dari biasa membayangkan baju baru di depan mata.

15 minit berlalu tak sampai lagi, 30 minit batang hidung tak nampak lagi, takpe bulan Ramadhan kesabaran lebih tinggi. 1 jam berlalu, jam menunjukkan pukul 2, hati dah mula panas tak sabar menanti. 2:30, mulut dah terkumat-kamit tanpa suara tanpa henti. 3, suara mula kedengaran, berpuasa hanya berlapar dan dahaga sahaja sekarang ini. 4 sehingga asar pun tak sampai lagi, memang nahas budak ini. Waktu ini pahala entah ke mana puasa pula entah ke mana, solat pun mungkin entah ke mana. Kemarahan berada di tahap maksima. Yang menjadi mangsa adalah kedua-duanya, rakan kita injured benjol di kepala, kita solat entah ke mana puasa pula tak dapat pahala.

Situasi yang sama cuma sudut yang berbeza, di mana yang berjanji itu kita dan Allah swt ‘menunggu’ kita menunaikan solat. Pukul 1, azan zuhur berkumandang, kita pun sekejap lagi la “awal lagi”. Pukul 2, cerita best ni waktu habis 1 jam dari sekarang, solat lepas ni la “boleh lagi”. Pukul 3, dah dengkur depan tv alih-alih pukul 4 lebih nak dekat asar baru terjaga, tengok jam “SEMPAT LAGI” bisik kita. Itu kalau yang bangun, kalau yang tak bangun.... Nahas kita. Bayangkan manusia selaku hamba Allah swt tidak sabar dan marah jika diperlakukan sebegitu, apatah lagi Allah swt Tuhan Sekalian Alam. MurkaNya terhadap kita tidak dapat dibayangkan. Namun disini yang menjadi mangsa dan rugi adalah kita dan bukan Allah swt dan Dia tidak sedikit pun rugi.

Kita berjanji dengan Allah swt sebagai seorang Muslim akan menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Kita mengetahui waktu yang perlu untuk menemuiNya, semua telah ditetapkan sejak sekian lama, azan pula boleh kedengaran. Namun kita tetap tidak bersedia menemuinya pada waktu yang ditetapkan malah memberatkan dan memBESARkan perkara lain daripada Allah Yang MAHA BESAR. Kalau terlewat kelas kita berlari-lari takut terlewat, namun kalu terlewat solat kita cuma QADA’ dan berdoa beberapa saat. ASTAGHFIRULLAH. Oleh itu marilah kita ingat kembali janji kita pada Allah swt, di mana kita sepatutnya menunggu dan bersedia pada setiap waktu untuk bertemu denganNya.

Oleh itu cuba perbaiki dan tepati masa kita dengan Allah, dengan izin Allah kita dapat tepati masa sesama manusia. Renungan untuk rakan-rakan dan diri saya sendiri. Wallahualam. 

Read more...

Berani Kerana...

>> Sunday, November 2, 2008

Rokok oh rokok. Rupamu akan berwajah baru. Meningkatkan lagi harga diri mu. Bagi yang mantap lagi gebu, saiz 20 sudah tentu, sekurang-kurangnya 6 not biru. Tinggi sungguh harga meminangmu. “Adui sakit kepala” bagi yang cukup minat akan kamu. Haru biru bagi yang melihat penampilanmu. 4 ribu ramuan dalaman satu persatu, 6 jenis penangan yang ada pada kamu. Namun begitu belum ada yang give up tu. Sehidup semati kerana kamu.

Maaf bagi yang terasa. Sebenarnya kiasan diatas aku buat bersumberkan petikan akhbar baru-baru ini yang bertarikh 30 Oktober 2008. Mulai tahun depan (2009) rokok Malaysia akan berwajah baru dengan imej kesan merokok yang serius di depan dan belakang kotak. 6 jenis penyakit yang dikesan melalui rokok akan dipamerkan di setiap kotak rokok. Malah di situ juga akan tertera di kiri atau kanan, amaran ‘rokok mengandungi 4000 bahan kimia’ yang selama ini hanya tertera amaran nikotin. Selain itu juga kerajaan akan mengharamkan penggunaan ayat “low tar”, “light”, “ultra-light” dan juga “mild” pada rokok bagi menerangkan kebahayaan apa sahaja produk yang bernama “rokok” dan menaikkan harga rokok minimum RM 6 bagi 20 batang rokok sekotak. Berjaya atau tidak kempen tersebut, kita hanya tunggu dan lihat.

Bagi aku rokok dianggap haram, walaupun ada sesetengah pihak yang menyatakan ia hanya makruh di dalam Islam. Bagaimana boleh terjadinya dua pendapat yang berbeza? Mari dengar aku bercerita.

Rokok telah wujud sekelian lama sejak zaman yang aku sendiri tidak tahu bila kewujudannya. Penangan rokok dilihat telah merantau sehingga kepada orang Islam sendiri sudah mulai merokok. Namun pada zaman dahulu rokok hanya dilihat sebagai satu aktiviti yang melalaikan. Sambil melepak menghisap rokok lalu mengeluarkan asap bila dihembus. Berkepul-kepul tanpa dapat apa faedah daripadanya, cuma kepuasan di dada anggap mereka. Melihat perkara itu para ulama’ Islam menganggapnya sebagai satu aktiviti yang melalaikan dan membusukkan mulut. Maka ia jatuh pada hukum makruh. Setelah sekian lama berada pada hukum tersebut, kajian telah dilakukan ke atas rokok dan aktiviti merokok, dan didapati bahawa rokok merosakkan diri malah membunuh diri perokok. Dengan automatiknya rokok terjatuh pada hukum haram mengikut ulama’.  Walaupun begitu kepuasan mengatasi segalanya maka ada yang masih berpegang pada hukum makruh.

Rata-rata perokok di Malaysia mengetahui akibat dan kesan merokok. Terbatuk-batuk, paling hebat pun darah sahaja yang keluar; sesak nafas, paling hebat pun tak boleh bernafas sahaja; kanser di merata, paling hebat pun air mata menahan sakit tak terkata. Namun mereka masih lagi BERANI sakit untuk kepuasan diri mereka. BERANI lagi berdalih makruh sedang haram hukum yang nyata. BERANI memarahi anak yang merokok sedangkan anak-anak mengikuti mereka. BERANI menanam janin sedangkan bini keguguran kerana rokok mereka. BERANI lagi merokok sedangkan orang lain tak berfilter dia seorang selamat saja. Segalanya BERANI kerana rokok semata-mata. Kalau di kata rokok seperti membunuh diri, statement itu tak boleh diterima tapi menjamin akan berhenti satu ketika.

TOLONGLAH BERHENTI WAHAI PEROKOK. Jadi seorang yang BERANI melawan nafsu, melawan keinginan yang diliputi bisikan syaitan. Aku memuji KEBERANIAN orang yang berhenti merokok. Aku menghormati KEBERANIAN orang yang bertaubat daripada merokok. Aku pasti, memang susah untuk berhenti, tapi tanpa usaha dan niat di hati, kata-kata berhenti itu bagaikan ‘batuk yang dilepaskan ditepi tangga sahaja’. Aku sekali lagi meminta maaf kalau ada yang terasa, tapi memang niat aku untuk buat orang terasa. Untuk hindari rokok yang binasa.

Read more...

Peti Kecil

>> Friday, October 31, 2008

Susah, memang susah. Memikirkan nama yang sesuai untuk blog memang satu perkara yang memeningkan. Diikutkan hati nama yang unik dan menarik menjadi pilihan dan kalau boleh mempunyai makna yang tersirat, baru bermakna blog yang dibuat. Persoalannya apa yang ada pada nama kalau isi tak seberapa?

Setelah berfikir seharian, ‘peti kecil’ menjadi pilihan. Ada sebabnya aku pilih nama ni. Idea ini sebenarnya datang dari sebuah novel fantasi kegemaran ramai. Melalui siri tersebut ada disebutkan bahawa terdapat sebuah peti yang mempunyai banyak kunci untuk membukanya, tetapi setiap kunci membuka kandungan peti yang berbeza-beza. Alangkah baiknya kalau terdapat peti seperti itu di dunia yang nyata ini, save money and spaces. Memang jimat. Isteri-isteri tersenyum lebar, para suami menepuk poket walaupun tidak berisi.

Tanpa disedari otak kita juga berfungsi sebegitu. Sebuah organ yang terletak di kepala, bagaikan peti kecil namun dapat menyimpan segala perkara yang baik dan juga buruk. Maka yang bertindak sebagai kunci adalah kehendak diri atau niat kita di hati. Baik niat kita, buah fikiran yang dikeluarkan juga adalah baik; buruk kehendak kita sebaliknya yang akan terjadi.  Oleh itu boleh dianggap pemikiran kita berdasarkan kunci yang dipegang, kalau iman sebagai kunci, Alhamdulillah syukur nikmat Malaysia maju rakyat selamat. Tetapi kalau nafsu sebahagian daripada kunci pastikan terdapat kunci iman sebagai safety.

Dipendekkan cerita, peti kecil ini mewakili otak aku yang akan cuba mengeluarkan idea atau buah fikiran dan berkongsi pengalaman yang datangnya dari hati aku, dan iman sebagai guideline atau dalam kata lain kunci safety aku. Oleh itu ambillah apa yang jernih dan buanglah apa yang nampak keruh.  

Bercakap tentang nama, ingin berkongsi sedikit. Daripada apa yang diajar nama itu bagaikan doa. Dari nama membentuk peribadi diri seseorang. Jadi esok-esok cubalah beri nama anak dengan makna yang baik sebagai satu doa apabila memanggil nama mereka. Tapi kalau dilihat suasana sekarang, nama yang diberi sampai tidak cukup ruang  di dalam borang, alih-alih nama timangan menjadi panggilan, kan rugi di situ.  Jadi elok difikirkan nama yang simple dan senang dipanggil, selaku ibubapa yang akan sentiasa mendoakan anaknya hanya dengan memanggil nama mereka sahaja. InsyaAllah.

Begitu juga dengan blog, nama yang simple dan senang diingati oleh sesiapa sahaja adalah yang terbaik dan dengan nama yang dipilih sedikit sebanyak akan membentuk dan memaparkan isi blog yang hendak disampaikan. Akhirnya, terjawab juga persoalan di atas. 

Read more...

Salam Perkenalan

>> Thursday, October 30, 2008


Salam. Pos pertama aku sebagai blogger amatur, tidak pasti apa yang hendak dimulakan.

Apa yang pasti blog peti kecil ini tiada arah tujuan yang tertentu, tiada terhadnya kepada sesuatu perkara, cuma ingin berkongsi bersama perkara yang berada di benak pemikiran otak sendiri. Sekali sekala dapat meluahkan segala perkara yang terpendam melalui penulisan sebegini boleh juga menenangkan hati serta mengingatkan diri yang sentiasa lupa akan sesuatu perkara. Malah bagi diri ini yang susah untuk mengekspresikan diri di dunia luar, sekurang-kurangnya dapat melepaskan segalanya di dunia yang maya ini dan menjadi paparan dan rujukan kepada dunia luar yang nyata. Tinggi sungguh harapannya bai. Takpe pelan-pelan kita kayuh.

Sebenarnya diri ini syiok memerhati orang yang menerbitkan blog sendiri. Ada yang hebat dalam kata-kata, pengalaman yang luas dikongsi bersama; ada yang tidak tahu ingin menceritakan apa, tetapi tetap mengeluarkan idea-idea kecil yang remeh tetapi tetap membuat kita berfikir sejenak “betul jugak kata dia”; dan ada yang sentiasa ingat-mengingatkan manusia yang sentiasa lupa akan tujuan di dunia, supaya beringat akan akhirat sana. Paling penting, ia memaparkan dunia yang nyata dari sudut pemikiran pelbagai ragam manusia dikalangan yang tua hingga ke muda dan dari yang berkedudukan sehinggalah yang berduduk diam.

Apa yang pasti semangat menulis blog ini datang daripada rakan yang menyatakan minat terhadap penulisan aku melalui tugasan biografi usahawan. “Azri, kalau kau buat blog jangan lupa bagi tahu aku!”. Beliau tidak pernah memuji tugasan tersebut, namun dari cakap tersebut membuat aku ‘memerah santan sekejap’ (perasan), terdapat juga orang yang ingin membaca tulisan dan idea aku. Menarik fikir aku dan dari situlah terbitnya blog yang dinamakan peti kecil ini. Terima kasih aku ucapkan kepada beliau dan seorang lagi rakan yang tak lekang memberitahu aku idea untuk meng’upgrade’kan blognya sendiri serta harapan dan pemikiran beliau yang ingin sekali menjadi wakil rakyat suatu hari nanti, maka perlulah mempunyai blog dan berjinak-jinak dengan dunia blog. Tak sudah-sudah. Bak kata orang apa, “langkah pertama, membawa kepada langkah kedua dan seterusnya”, tak gitu YB.

 

Read more...